Petua Keluarga :- 5 Bahaya Bancuh Susu Formula Tak Ikut Sukatan


Susu formula bayi didatangkan dengan panduan sukatan khusus, dan ia mungkin berbeza antara satu sama lain. Dalam kebanyakan kes, ibu bapa mungkin lebih cenderung untuk mencairkan susu formula (kurangkan susu dan banyakkan air) agar ia dapat lebih menjimatkan. Selain itu, ramai juga ibu bapa menganggap cara bancuh susu sedemikian boleh mengelakkan anak sembelit.

Walaubagaimanapun, kita perlu tahu bahawa perut bayi adalah sangat sensitif dan bukanlah seperti perut orang dewasa. Malah, bayi yang berusia bawah 6 bulan masih bergantung kepada susu sepenuhnya sebagai nutrisi utama bagi perkembangan mereka.

Cara bancuh susu formula tidak boleh diubah sewenang-wenangnya kerana:

1. MENJEJASKAN TAHAP ELEKTROLIT DALAM TUBUH

Seperti yang kita tahu, bayi yang berusia 6 bulan ke bawah tidak boleh diberikan minum air kosong, kecuali dalam kuantiti kecil sekadar untuk membilas/mencuci mulutnya.

Menurut laman web kesihatan LiveStrong, bayi belum berkebolehan untuk memproses penyingkiran air dari badan secara efisyen sehingga mencapai 10 bulan. Ini bermaksud, kandungan air yang terlalu banyak dalam tubuh mereka boleh menjejaskan tahap elektrolitnya.

Seperti yang dijelaskan oleh Dr Azhar Mahmud menerusi laman web DoktorBudak, pemberian air kosong berlebihan juga boleh menyebabkan oral water intoxication, di mana ia mencairkan darah dan menurunkan paras garam ke tahap yang kritikal hingga menyebabkan bayi mengalami sawan, koma, kecederaan otak dan jika tidak dikesan awal akan menyebabkan kematian.

2. KURANG NUTRISI

Susu formula telah dirumus khas untuk diberikan kepada bayi mengikut sukatannya agar ia dapat menampung keperluan nutrisi yang diperlukan oleh bayi. Dengan menambahkan terlalu banyak air, kita telah mengubah konsentrasi formula tersebut dan ini tentunya akan memberi kesan kepada nutrisi yang bakal diterima oleh bayi.

Oleh itu, air kosong berlebihan boleh menyebabkan perkembangan bayi terbantut akibat kekurangan nutrisi. Bukan itu saja, ia turut berpotensi menyebabkan masalah kesihatan lain, contohnya anemia akibat kekurangan mineral zat besi.

Tindakan mencairkan susu ibu juga tidak sepatutnya menjadi amalan kerana susu ibu sudah mempunyai jumlah air yang mencukupi untuk bayi. Selain mengurangkan nutrisi, ia boleh menyebabkan ibu mengalami masalah kekurangan susu badan yang lebih serius.

3. RISIKO PENCEMARAN AIR

Air masak atau air yang dirawat juga ada kalanya boleh mendatangkan kesan kepada bayi. Pencemaran yang terdapat di dalamnya biasanya tidak memudaratkan orang dewasa, tetapi boleh membahayakan bayi, terutamanya bayi yang baru lahir.

Maka, seeloknya ia tidak ditambahkan secara berlebihan di dalam susu kerana ia boleh menyebabkan cirit-birit atau masalah kesihatan yang lain.

4. SEMBELIT PERLU DIKENALPASTI PUNCANYA

Sembelit yang berlaku pada bayi perlu dikenalpasti punca sebenarnya. Ia biasanya berasal daripada pemakanan, tetapi mungkin juga sebab-sebab lain. Mencairkan susu formula dalam bancuhan bukanlah cara penyelesaiannya. Dr Zubaidi dan Dr Suriyakhtun pernah mengupas isu ini melalui laman sosial mereka.

Jika bayi telah mula makan (melebihi 6 bulan), boleh cuba berikan buah-buahan atau jus buah kepada bayi untuk melegakan sembelit. Sekiranya bayi tidak serasi dengan susu formula, cuba dapatkan beberapa sampel susu lain yang lebih sesuai.

5. BANCUHAN TERLALU PEKAT JUGA BOLEH MENDATANGKAN KESAN BURUK

Sementara itu, cara bancuh susu yang terlalu pekat pula tidak boleh diabaikan. Mungkin ada masanya kita terlupa cara sukatan yang sepatutnya dan agak-agak saja semasa membuat susu hingga ia boleh menjadi terlalu pekat.

Jika dilakukan untuk jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan bayi mengalami masalah kerosakan gigi dan mempunyai lebihan berat badan. Dalam kes yang lebih serius, ia boleh menjejaskan kemampuan buah pinggang bayi.

IKUT SUKATAN YANG DIKHUSUSKAN

Cara bancuh susu perlu diikut dengan teliti. Jangan terlalu cair, dan jangan pula terlalu pekat. Setiap rumusan yang ditetapkan itu tentulah ada sebabnya untuk kita ikut. Jadi, janganlah mengubahnya kerana ia boleh menjejaskan perkembangan dan kesihatan bayi, walaupun tanpa kita sedari.




PETUA-PETUA

Sila pilih petua-petua yang anda cari :
 
Copyright © 2014 Product Report - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info Published By : Blog Mas Faiz